Khamis, 23 Mac 2017

Malaysia terlalu hebat buat Macau


ARKIB : 05/05/2002
MALAYSIA bermula bermula cemerlang sementara Vietnam membuktikan mereka layak diletak sebagai pasukan pilihan apabila masing-masing merakamkan kemenangan besar pada hari pembukaan kelayakan kumpulan 10 Kejohanan Bola Sepak Bawah-20 Asia di Stadium Shah Alam, semalam.

Skuad negara, yang dibimbing oleh jurulatih dari Brazil, Jorvan Vieira membelasah Macau 6-0 untuk menyaingi Vietnam yang sebelum itu membaham Kemboja dengan kemenangan 5-0.

Khairul Izwan Khalid memulakan langkah bergaya skuad negara apabila berjaya membolosi gawang gol Macau ketika permainan baru berusia tiga minit. Dia kemudiannya menambah gol kedua pada minit ke-44.

Mohd. Safee Sali turut mencipta dua gol pada minit ke-68 dan 74, sementara dua lagi disumbangkan oleh pemain Terengganu, Tengku Alias Tengku Ibrahim dan M. Ravindran masing-masing pada minit ke-55 dan 64.

Pham Van Quyen dan Phan Nhu Thuat masing-masing turut mencipta dua gol ketika membantu Vietnam menumpaskan Kemboja dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Van Nguyen menemui sasaran pada minit ke-38 dan 83 sementara Nhu Thuat pada minit ke-46 dan 64. Satu lagi gol disumbangkan oleh Dan Van Thanh, sembilan minit sebelum permainan tamat.

Esok, Vietnam akan bertemu Macau manakala Malaysia akan diuji pula oleh Kemboja.

Ujian sebenar Malaysia hanya akan tiba pada Rabu ini apabila bertemu Vietnam yang dijangka menentukan harapan skuad negara untuk mara ke pusingan akhir buat kali pertama.

Pusingan akhir akan berlangsung di Qatar pada hujung tahun ini.

MALAYSIA 6 MACAU 0

VIETNAM 5 KEMBOJA 0

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c9VZuZPz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan